Salam Maulidur Rasul di Bumi Anbiya'

on Thursday, February 25, 2010
Assalamualaikum kepada semua pembaca, syukur kepada Allah Taala dengan limpah kurniaNya memberikan kepada kita peluang untuk menikmati nikmatNya yang tak terhingga. Bersyukur juga atas nikmatNya yang paling besar iaitu nikmat Iman dan Islam yang merupakan akidah dan pegangan kita semua.
Firman Allah Taala didalam Al-Quran Al-Karim, dalam surah Al-Imran, Juzu' tiga, ayat ke 144 berbunyi:
"Dan Muhammad hanyalah seorang Rasul, sebelumnya telah berlalu beberapa rasul. Apakah jika dia wafat atau dibunuh, kamu berbalik ke belakang (murtad)? Barang siapa yang berbalik ke belakang, maka ia tidak merugikan Allah sedikit pun, Allah akan memberikan balasan kepada orang yang bersyukur."

Sering kita dengar ayat ini dibacakan pada hari maulidur Rasul yang berlaku setahun sekali memperingati hari kelahiran seorang rasul yang bergelar rasul Ulul Azmi dan penutup semua rasul (Khataman Nubuwwah). Sejak kecil lagi kita sering dicerita oleh ustaz-ustaz di sekolah, di masjid, surau, bahkan ibu bapa kita juga sering menceritakan kisah mengenai Rasul terulung, Muhammad Rasulullah s.a.w. kepada kita semua. Kita sering melihat sambutan maulidur Rasul yang dibuat oleh pihak kerajaan mahupun individu tersendiri di rumah, Balai Islam negeri mahupun di masjid. Persoalannya, sejauh manakah kita mengenali Nabi kita? Sedalam manakah cinta dan kasih kita kepada Rasulullah? Jika ditanya kepada ibu bapa di Malaysia, sejauh manakah kamu mencintai Nabi, sterotaip yang majoriti digunakan ialah:
"Saya sayang Nabi dengan berselawat kepadanya,"
Ya, inilah jawapan majoriti penduduk Malaysia yang rata-ratanya mengaku Islam, tetapi sayang seribu kali sayang. Kita mengakui yang kita mencintai Nabi, mengakui yang kita berselawat ke atas Nabi pada hari Maulidur Rasul, tetapi mengapakah kita tergamak menconteng arang di wajah mulia Rasulullah s.a.w kita? Benar ada hadith mengatakan barang siapa yang berselawat sekali ke atas Nabi, maka Allah Taala akan berselawat sepuluh kali ke atasnya. Benar dan tidak dinafikan lagi tetapi, saya tahu persoalan di fikiran para pembaca:
"Apakah yang kami lakukan sehingga dikata sanggup menconteng arang di wajah mulia Rasulullah?"
Maka, jawapan saya, bukan untuk segelintir pihak, tetapi untuk semua pihak termasuk diri saya sendiri. Jawapannya:

  1. Kita mengatakan yang kita Islam tetapi suruhan sembahyang lima waktu yang asalnya 50 waktu, tetapi atas kasih sayang Rasulullah terhadap kita, Baginda sanggup berulang-alik berjumpa dengan Allah Taala untuk mengurangkan jumlah tuntutan solat sehingga lima waktu sehari semalam kita abaikan sesuka hati.
  2. Kita mengaku kita Islam tetapi akhlak kita tidak melambangkan ciri kita sebagai seorang Islam sedangkan Rasulullah s.a.w terkenal dengan akhlak yang terpuji lagi mulia.
  3. Kita mengaku kita Islam sedangkan pemakaian kita langsung tidak menutup aurat. Anak isteri terdedah kepala, lengan, dan anggota badan. Dan kita sendiri adakalanya berseluar pendek ketika keluar.
  4. Kita mengaku kita beragama Islam sedangkan urusan seharian kita tidak berdasarkan Islam. Rasuah, riba berleluasa sedangkan kita tahu ia adalah haram.
  5. Kita mengatakan bahawa kita sekeluarga Islam sedangkan kita membiarkan anak-anak lelaki dan anak-anak gadis kita bergaulan bebas, berpelukan di khalayak ramai mengalahkan belangkas bercengkerama di malam hari.
  6. Kita bangga apabila kita mendermakan wang untuk membuat konsert, pelbagai pesta hiburan sehingga heboh satu kampung sedangkan ramai pelajar miskin yang ibu bapanya terpaksa bergolok gadai menjual tanah dan harta,berhempas pulas mengerah keringat membanting tulang empat kerat untuk menghantar anak mereka melanjutkan pelajaran.
Ya. Inilah dia realiti yang berlaku pada hari ini. Jikalau Baginda Rasulullah s.a.w masih hidup dan melihat keadaan kita, pasti Rasulullah mengalirkan air matanya. Jikalau Saidina Umar r.a masih hidup, sudah tentu kita mati dibunuh olehnya kerana melukakan perasaan dan hati Rasulullah s.a.w. Adakah ini yang dinamakan cinta? Fikirlah sendiri betapa besar dosa kita mengabaikan tanggungjawab kita selama ini.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...