Mama Abah, Pendorong Kegigihan

on Sunday, June 27, 2010
Pada 30/6/1988, telah lahir seorang bayi lelaki dari rahim Mahani Binti Mohd Haniffah. Anak lelaki tersebut disambut oleh doktor di Hospital Bersalin Pulau Pinang. Suaminya, Ismail Bin Nordin melafazkan kalimah syukur tatkala kelahiran anak lelakinya selamat lantaran sebelum itu dikhabarkan oleh doktor bahawa kelahiran bayi adalah songsang.
Pada tahun 1990, rahim Mahani Mohd Haniffah berisi lagi. Kali ini, berisi dengan anak perempuan. Si abang berseronok kemain,menanti kehadiran adik yang baru. Pada tahun 1991, lahirlah bayi perempuan tersebut tepat pada hari Nuzul Al-Quran.
Tahun demi tahun, kedua anak membesar. Sang abang semakin nakal. Sang adik semakin bijak. Diajarnya pelbagai ilmu kepada mereka berdua agar kelak mudah kemudian hari. Namun si abang lebih minat kepada merenung kejadian sesuatu perkara manakala si adik lebih cenderung kepada minat untuk mengkaji. Sepanjang membesar, seringkali rotan dan cubitan terpaksa diguna, agar kelak menjadi seeorang yang berguna. Akhirnya, timbul suatu sifat didalam diri sang abang, sifat survivor tanpa kenal erti menyerah atau gentar. Sejak kecil dihantar dudk bersama makciknya, hatinya tabah menerima perpiasahan dengan mama abah dan adik kesayangannya. Dipaksa hatinya menerima kehidupan yang mendatang yang akhirnya jiwa survivor itu sebati didalam jiwa. Tidak sedikit pun hatinya mengeluh.
Bertahun demi tahun, berpindahlah sekeluarga ke Kulim, Kedah lantaran suaminya berpindah tempat kerja. Bergembiralah sekeluarga. Membesarlah keduanya anak dengan penuh kerenah nakal terutamanya sang abang. Nakalnya cukup membuatkan hati mamanya risau. Kerenahnya pula sering membuat hati abahnya gusar. Lincahnya membuatkan kedua ibu bapanya resah. Setahun kemudian, demi mengelakkan kedua anaknya menjadi buta Al-Quran, dihantarlah keduanya menerima ajaran di kampung abahnya di Simpang Ampat, Kampung Gadek, bersebelahan dengan Sekolah Kebangsaan Ganun. Diajar oleh datuk dan neneknya dengan tegas. Bersama sepupu seramai 8 orang. Libasan rotan tak usak dikata. Berbirat punggung menerimanya. Habis dilastik ayam orang, disebat pula tebu di kebun. Namun, kesemuanya menjadi kebanggaan Hajah Che Chik Binti Yob dan Haji Nordin Bin Abdullah.
Dua tahun kemudian, kembalilah kedua-duanya ke Kedah semula. Membesar dibawah asuhan mama abah. Namun siapa sangka, ajal maut di tangan Tuhan. Pergilah sekian Mohd Haniffah A/L Yusoff, datuk tersayang. Hatinya tabah menerima pemergian datuknya. Hatinya redha, tanpa ditangisi. Didoakan sentiasa datuknya dirahmati.
Kehidupan diteruskan dengan tabah dan cekal. Di sekolah, sering kali dirinya dikutuk lantaran kulitnya yang hampir hitam. Badannya yang kurus dan kecil, sering kali menjadi bulian sesetengah pelajar. Dilawan sudah, namun apalah kudratnya. Namun begitu, pelajarannya meningkat setiap masa. Darjah enam pula menyaksikan bahawa dirinya diperli lantaran kedunguannya dan kelembapannya menangkap pelajaran kelas pertama. Namun siapa tahu, untung dirinya, selesai peperiksaan, dirinya diterima memasuki sekolah berasrama penuh di Melaka. Gembiralah hati ibu dan ayahnya. Melihat anak sulung berjiwa survivor berjaya didalam pelajaran.
Tahun demi tahun, sekolah demi sekolah,pindahlah sang anak ke Maahad Tahfiz Darul Quran wal Qiraat menurut pemintaannya pada tahun 2003 menerima ajaran ilmu agama. Al-Quran dihafal, bukannya mudah. Hukuman diterima tanpa rungutan. Pada tahun 2006, diduduki pula peperiksaan Sijil Mengengah Ugama. Tanpa persediaan apa pun dipaksa dirinnya belajar sehingga akhirnya menjadi Pelajar Lelaki Terbaik Sekolah Swasta SMU 2006.
Tamat SPM, sang anak menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia pada tahun 2008 atas permintaan ibu kesayangannya. Berusahalah dia belajar dalam masa yang singkat hanya 3 bulan sahaja sebelum peperiksaan. Akhirnya berkat doa ibu dan abahnya, sang anak lulus cemerlang tanpa disangka. Dinyatakan tujuannya melanjutkan pelajaran di Bumi Mesir. Si ayah terdetik hatinya. Si ibu terdiam memikirkan permintaan anaknya. Namun diturutkan kehendak anaknya belajar di Mesir. Borang dihantar dan segala urusan dibuat bersama adik perempuannya yang turut berjaya ke luar negara. Si abang di dalam bidang Undang-Undang manakala si adik di dalam bidang Perubatan.
Pada 7/7/2009, si abang berjaya mengkhatamkan hafalan Al-Quran 30 juz. Berderai air mata ibunya mendengar si abang berjaya mengkhatamkan hafalannya. Majlis kesyukuran dibuat di sekolah, tanda kesyukuran berjaya mengkhatamkan hafalan Al-Quran walaupun lambat. Sementara menunggu ke Bumi Anbiya, bekerjalah sang abang dan adik bersama kedua ibu bapanya tersayang sehinggalah tiba saat perpisahan adiknya dan keluarga,menerbangkan diri ke Bumi Anbiya menuntut ilmu Perubatan pilihannya. Air mata ibu menitis tanda kegembiraan dan kesedihan. Anak perempuan yang dikandung 9 bulan 10 hari, berpisah dengan keluarga demi menuntut ilmu. Ayahnya pula menabahkan hati, melihat air mata anak perempuannya. Satu-satunya puteri didalam keluarganya pergi jauh menuntut ilmu. Sang abang menghadiahkan sebuah telefon baru, tanda kasih kepada adiknya walaupun tidak selalu ditunjuk.
Berlalu sebulan kemudian, menyaksikan pemergian sang abang ke Bumi Anbiya juga, menuntut ilmu Undang-Undang. Gusar hati sang ibu melihat kesungguhan anaknya mengambil bidang yang jarang diambil orang. Risau ayahnya melihat anaknya menuntut bidang berlainan rakan-rakan anaknya. Satu-satu pelajar yang mengambil bidang Undang-Undang dari ribuan pelajar dari Malaysia.

15 minit sebelum berlepas

"Abang, mama doakan abang berjaya dalam pelajaran,belajarlah bersungguh-sungguh, apa sekali pun bidang, belajarlah, jangan risau mama abah disini, garang mama dahulu mendidik abang menjadi matang, marah mama dahulu tanda sayang mama pada abang, cubitan dan jentikan mama dahulu tanda mama nak yang terbaik buat abang, rotanan mama dahulu kalau abang sakit, hati mama sedih dan rasa bagai disiat-siat, namun semuanya untuk abang, kebaikan abang,"

Itulah kata-kata ibu yang sehingga sekarang berlegar di kotak minda anaknya yang dahulunya nakal, degil, keras kepala.

10 minit sebelum berlepas:

"Abang,ni dari abah, abah tahu dahulu abah garang, selalu rotan abang, tapi semua tu tanda abah sayang kamu, kamu kebanggaan abah, dari kecil lagi kamu selalu membuatkan abah terasa bangga walaupun kamu dahulu nakal, degil, keras kepala, dan macam-macam, namun kamu berlainan, kamu tidak seperti sepupu kamu yang lain, pergilah belajar, abah doakan kamu berjaya, pergilah, jangan dilupa Al-Quran didada, itulah harta pusaka kamu dari abah, abah sayang kamu,"

Itulah pesanan abah yang dahulu garang terhadapnya, berlainan dengan adik-adiknya membuatkan hati anak sulungnya sebak. Hadiah hanyalah sebuah jam yang dipakainya namun amat dihargai anaknya.

5 minit sebelum berlepas:

"Mama, abah, abang minta maaf sekiranya selama ini abang selalu membuat hati mama abah marah, terluka dan sebagainya, abang tahu abang selama ni nakal dan bermasalah, abang minta maaf, cuma abang minta satu je sebagai permintaan abang yang pertama selama ni, abang cuma mahu doa mama abah sahaja, itu sahaja yang abang mahu, tak ada yang lain abang inginkan kecuali doa dari mama abah sahaja. Biarlah itu yang menjadi hadiah buat abag selama ini. Tak perlulah handphone beribuan ringgit menjadi hadiah, Tak perlulah laptop berjenama menjadi hadiah, hanya doa sahaja, teramat mahal buat abang"

Permintaan anaknya dengan sebak. Akhirnya berlepas anaknya juga ke Bumi Anbiya. Moga dirinya terlindung dari segala kesusahan dan kesempitan.



Ismail Bin Nordin itu ialah abah saya, Mahani Mohd Haniffah itu ialah ibu saya. Mohd Haniffah A/L yusoff itu ialah datuk saya. Adik itu ialah Nuzul Furqanni Ismail, adik perempuan saya. Dan abang itulah saya.

Saifuddin Ismail, Damanhour
12.18 pagi
30 Jun 2010
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...